walaupun tak knal tapi...hati ni sebak la jugak bila baca...
SEREMBAN 2 Dis. – Seorang anggota polis dan anaknya rentung setelah kereta yang mereka naiki terbakar dan meletup dalam kemalangan ngeri di Kilometer 270.9 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran kawasan Rawat dan Rehat (R&R) di sini pagi ini.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 6.30 pagi itu, kereta Proton Perdana V6 yang dipandu oleh mangsa, Lans Koperal Azmi Abdul Aziz, 29, terbabas lalu melanggar pembahagi jalan di tengah lebuh raya sebelum ia beralih semula ke lorong kiri.
Pada masa yang sama, sebuah kereta Proton Waja dari arah yang sama merempuh kenderaan mangsa.
Kemalangan itu menyebabkan Azmi dan anaknya, Mohamad Nor Akmal Daniel, 6, serta pemandu Proton Waja itu, Samir Bhamerick, 39, mati di tempat kejadian.
Isteri Allahyarham Azmi yang juga seorang anggota polis, Lans Koperal Rohana Ahmad, 26, serta seorang lagi anak mereka, Mohamad Nor Amsha Danish, 3, mengalami kecederaan ringan.
Azmi berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam manakala isterinya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar pada sidang akhbar bersama Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini berkata, Azmi dan keluarganya dalam perjalanan pulang ke Shah Alam setelah bercuti tiga hari di Kota Tinggi, Johor.
Menurut Khalid, kenderaan yang dipandu Azmi dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan dan dirempuh kereta Proton Waja itu.
‘‘Selepas kemalangan itu, orang awam yang berada di kawasan tersebut membantu mangsa sebelum pihak Bomba dan Penyelamat tiba 15 kemudian,’’ katanya.
Menurut Khalid, pihak polis Negeri Sembilan sedang menyiasat punca sebenar kemalangan dan mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar di sini untuk bedah siasat.
Katanya, Allahyarham Azmi menyertai pasukan polis sejak 10 tahun lalu dan kini berkhidmat di Unit Kereta Peronda IPD Shah Alam.
Sementara itu, Rohana yang kelihatan masih terkejut dan bersedih dengan peristiwa tersebut, hanya mendiamkan diri sambil meratapi jenazah suaminya selepas disembahyangkan di surau IPK negeri di sini.
Jenazah kedua-dua beranak itu kemudiannya dibawa pulang untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Sungai Emas, Kota Tinggi, Johor selepas solat Maghrib, malam ini.
*********************************************************************************
KOTA TINGGI 2 Dis. - Berkongsi makan sepinggan bersama suami dan anak-anak buat pertama kali seolah-olah menjadi petanda Lans Koperal Rohana Ahmad, 26, akan kehilangan orang yang disayanginya.
Itu juga merupakan kenangan malam terakhir yang tidak dapat dilupakan oleh Rohana Ahmad sebelum berlakunya kemalangan ngeri yang meragut nyawa suami dan seorang daripada anaknya.
"Tidak pernah kami makan berkongsi sepinggan nasi, tapi malam tadi (semalam) suami dan kedua-dua anak saya beria-ia hendak makan sepinggan bersama," kata balu kepada Lans Koperal Mohd. Azni Abdul Aziz, 29, yang maut bersama anaknya, Mohamad Nor Akmal Daniel, 6, dalam kemalangan di Kilometer 270.9 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di Seremban, pagi ini.
Rohana bagaimanapun terselamat bersama seorang lagi anaknya, Mohd. Noramsha Danish, 3 dan hanya mengalami cedera ringan selepas tercampak keluar semasa nahas tersebut.
Menurut Rohana, ketika kejadian, mereka berempat dalam perjalanan pulang ke rumah di Sekyen 20, Shah Alam selepas bercuti selama empat hari di kediaman mertuanya di Felda Sungai Emas di sini dan bercadang untuk pulang ke kampungnya di Bota Kanan, Perak pula pada sebelah malamnya.
Katanya, ketika dalam perjalanan, kereta dipandu suaminya gagal mengelak kemalangan awal di depan mereka sebelum merempuh pembahagi jalan di sebelah kanan dan dirempuh pula sebuah kereta lain lalu tersadai di tepi jalan dan terbakar.
''Saya hanya ingat suami menjerit 'Allahuakbar' sebelum saya tercampak keluar menerusi cermin depan bersama anak kedua saya yang saya peluk sekuat-kuatnya.
''Kemudian saya cuba minta tolong orang ramai supaya selamatkan suami dan anak dalam kereta, tetapi api marak begitu cepat,'' katanya dalam linangan air mata ketika ditemui di sini lewat malam ini.
Sementara itu, Rohana berkata, anaknya, Mohd. Norakmal berkelakuan pelik pada malam terakhir sebelum nahas ngeri itu berlaku.
"Dia beria-ia mencium dahi, mulut, pipi kiri dan kanan saya, selain berulang-ulang kali memberitahu 'sayang emak sangat-sangat','' katanya.
2 comments:
arwah selalu makan kt kantin tmpat keje akak..
sama2 la kita sedekahkan al-fatihah untuk arwah dan anaknya..
sedih tul....
waaaa nak nangis...
Post a Comment