Honda CR-Z pertama kali diperkenalkan sebagai kereta konsep pada 23 Oktober 2007 di Tokyo Motor Show. Jentera sporty berkenaan sudah pun dijual di Jepun dan Amerika Syarikat tahun lalu.
Akhirnya jentera hibrid sporty dan mengancam ini tiba di Malaysia selepas Honda Malaysia Sdn Bhd secara rasmi melancarkan jentera dua pintu hot-hatch di pasaran secara rasmi minggu lalu, sekali gus menjadikan Malaysia negara Asia Tenggara pertama melancarkannya.
Ditampilkan dalam bentuk lebih sporty dan berkuasa, CR-Z menggabungkan enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC dengan janaan kuasa mencecah 84 kilowatt (kW), motor elektrik berkuasa 10 kW dan Intelligent Power Unit (IPU) yang sofistikated.
Bukan itu sahaja, CR-Z serba baru yang elegan, aerodinamik dan mesra alam ini menggunakan sistem hibrid IMA (Fleksibiliti Sistem Hibrid), membolehkannya digunakan bersama kotak gear manual. Justeru, ia merupakan jentera hibrid pertama dunia menggabungkan sistem hibrid dengan transmisi manual.
Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Yoichiro Ueno, CR-Z adalah jentera hibrid ke-3 diperkenalkan oleh Honda selepas Civic Hibrid dan Insight di Malaysia.
“CR-Z merujuk kepada ‘Compact Renaissance Zero’ yang mewakili komitmen Honda untuk kembali kepada asas dan menerima cabaran untuk membina kereta kompak tanpa terikat kepada nilai kenderaan hibrid tradisional.
“Secara teknikal, ia direka untuk memberikan penjimatan bahan api yang mengagumkan dan pada masa sama memberikan pemanduan dinamik dan responsif,” katanya ketika majlis pelancaran di Sunway Damansara.
Katanya, untuk meningkatkan pengalaman pemanduan, CR-Z juga menjadi model pertama menampilkan Sistem Pemanduan Tiga Mod yang memberi pilihan kepada pemandu untuk memilih gaya pemanduan diinginkan mengikut situasi sama ada Sport, Normal atau ECON.
Mod Sport memberikan pemandu pilihan untuk mendapatkan kuasa lebih agresif, pecutan lebih pantas dan respons stereng lebih responsif. Bagi mod Normal, ia memberikan keseimbangan untuk pemanduan berprestasi dan pada masa sama kekal menjimatkan bahan api.
Bagi mereka yang tidak menitik berat kepada prestasi enjin dan inginkan penjimatan bahan api mod ECON adalah pilihan terbaik. Ia mengurangkan maklum balas pendikit, mengoptimumkan bantuan motor, mengawal pendingin hawa secara ekonomikal dan memanjangkan tempoh melahu ketika berhenti untuk memaksimumkan penjimatan. Fungsi Eco Assist memberi panduan kepada pemanduan untuk mengoptimumkan penjimatan minyak.
Ketiga-tiga mod boleh dipilih dengan hanya satu sentuhan butang yang berada di papan pemuka berdekatan dengan stereng di bahagian kanan.
Diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun, CR-Z hanya didatangkan dengan warna putih mutiara premium dan buat masa ini hanya varian manual sahaja ditawarkan.
Kata Ueno, Honda mensasarkan jualan 100 unit CR-Z sehingga penghujung tahun ini dan lebih banyak unit lagi akan dibawa masuk pada tahun hadapan.
Harga ditawarkan juga turut berpatutan bagi sebuah model hibrid pada harga RM115,000 (termasuk insurans). Antara ciri-ciri standard yang dibekalkan untuk CR-Z termasuklah lampu utama Halogen dengan LED, lampu kabus, lampu belakang dengan rekaan LED, cermin sisi dengan lampu isyarat membelok, antena radio ‘Shark Fin’, kunci gaya Jack Knife, rim aloi 16 inci, roda stereng dibalut kulit tiga jejari, gear knob aloi dan kulit, pedal sport aluminium, kusyen dibalut fabrik, kluster meter dengan iluminasi sukan, kawalan cruise, sistem audio dengan USB, AUX dan serasi iPod, bersama-sama enam pembesar suara, dan tidak dilupakan ruang bonet seluas 410 liter .
Bahagian keselamatan pula menampilkan antaranya beg udara i-SRS untuk pemandu dan beg udara SRS untuk penumpang, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), sistem ABS, BA, EBD, Bantuan Penghidup Bukit, Kawalan Teknologi G-Force (G-CON) dan tali pinggang hadapan tegangan.
Secara keseluruhannya, bahagian luaran dan dalaman Honda CR-Z sangat memukau, bukan saja berteknologi tinggi, malah rekaan tampil garang, sporty, dinamik dan pada masa sama mengekalkan ciri mesra alam. Rekaan aerodinamiknya yang tajam mengurangkan geseran angin dan meningkatkan prestasi, seterusnya menjimatkan bahan api dan pelepasan gas berbahaya.
Perlu diketahui, model kompak ini hanya didatangkan dengan dua tempat duduk sebetulnya, tipikal sebuah kereta sport tulen seperti jenama lain yang lebih mahal. Di bahagian belakang bagi penulis, terlalu sempit untuk penumpang dewasa.
Jentera CR-Z turut pernah memenangi Kereta Terbaik 2010/2011 di Jepun dan Kereta Hijau Terbaik Top Gear 2010 di United Kingdom.
♥ mama Muhammad Dani Emir ♥
No comments:
Post a Comment