Apabila datang kesusahan dan bala, baginda Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam selalu menganjurkan kepada para sahabatnya supaya memohon bantuan daripada Allah Subha Nahu Wa Ta'ala. Kerana hanya Dialah yang berkuasa melepaskan kita daripada sebarang kesusahan.Pada suatu hari, baginda SallaLlahu 'alaihi Wasallam masuk ke masjid, kata Abu Sa'id al-Khudri, lalu baginda melihat seorang lelaki Ansar bernama Abu Umamah sedang termenung, pada wajahnya tergambar kedukaan. Kemudian baginda Rasul bertanya; "Apa yang engkau buat di sini pada waku begini, wahai Abu Umamah?"Abu Umamah menjelaskan; "Aku sedang bingung kerana terlalu banyak hutang, ya Rasulullah."
"Sukakah engkau aku ajarkan satu bacaan yang dapat melangsaikan hutang-hutangmu dan melenyapkan duka dan kesedihanmu?"Abu Umamah berkata; "Tentulah aku suka, ya Rasulullah!"
"Bacalah setiap pagi dan petang bacaan ini," kata baginda Rasul.Bacaan yang dimaksudkan baginda tersebut ialah;
"Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kesusahan dan kesedihan; aku berlindung kepada-Mu daripada kelemahan dan kemalasan; aku berlindung kepada-Mu daripada [sifat] pengecut dan bakhil; dan aku berlindung kepada-Mu daripada beban hutang dan kekerasan manusia."
Kemudian Abu Umamah berkata; "Doa tersebut aku amalkan dan akhirnya Allah Subha Nahu Wa Ta'ala menyelesaikan hutang-hutangku, begitu juga kesusahanku."
Sesungguhnya doa-doa ini bukanlah hanya sekadar doa yang memohon sesuatu daripada Allah Subha Nahu Wa Ta'ala oleh orang yang malas bekerja. Tetapi, yang demikian adalah suatu pertolongan yang timbul daripada kebenaran serta keyakinan yang kuat. Maka dengan membacanya, orang bekenaan mampu manghadapi apa jua bentuk persoalan yang datang dalam hidupnya.Selain daripada itu, doa-doa ini juga adalah suatu sempadan nilai yang sewajarnya menjadi pegangan orang Mukmin, yakni setiap usaha dan pekerjaan yang dilakukan adalah atas dasar iman dan takwa kepada Allah Subha Nahu Wa Ta'ala.Maka, diharapkan bertambah baik jiwa seseorang, bertambah mantap tekadnya, setelah membaca doa-doa yang mengadungi motivasi ini. Lalu, kerana berkat doa-doa ini, maka semakin baik pulalah amalan agama seseorang dan bertambah baik pula kehidupan dunianya.
kredit : Mamafaiz.com
♥ mama Muhammad Dani Emir & Nur Izzara Dania ♥
No comments:
Post a Comment